Foto©background-wallpapers.com
Rosli K. Matari
PERCAKAPAN DAUN KEPADA EMBUN
Ah, kau terkejut melihatku? Semalam, gelap.
Pagi ini, pertama kali kita bertemu.
Itu pun mujur matahari sudah lewat
menebuk kabus.
Cahayanya sudah bolos untuk
mengilaukan kau.
Tanpa siang, cahaya, dan kilau
kau mungkin tidak tahu,
aku juga wujud.
Walau sementara,
sekurang-kurangnya kita tahu
bahawa kita pernah ada.
18 Okt 1980
(BELUM PERNAH TERSIAR)