Foto©livingstonnj.org
Rosli K. Matari
KEPADA SEHELAI DAUN
Kutemui kau terlantar di atas tanah
Entah kerana digetus oleh tangan angin
Atau mungkin gugur kerana hayat terakhir usia.
Memang tidak dapat kudengar
Suara sedihmu, rasa sepimu
Bahkan mungkin, gementar jiwa dan jasadmu.
Namun kau harus tahu, reda, dan insaf
Apa sahaja, termasuk aku, yang pernah ada
Akan berakhir menjadi tiada semula.
Demikianlah kebijaksanaan Tuhan
Kerana kita dahulu pernah tiada
Kemudian abadi, untuk mengenal yang lebih Abadi.
Semoga kautenang dan dikasihi Tuhan
Kerana di atas tanah itulah, becak atau kering
Telah tersimpan takdir terakhir kita.
Selamat tinggal, wahai daun
Meskipun kau mungkin tidak mengetahui
Aku juga gementar sepertimu.
Rumah Gapena
9 Jun 06 [Dewan Budaya]