CATATAN PENGANTAR
[1]
Dalam kreativiti saya, daripada sebahagian koleksi draf dan antara yang pernah tersiar dalam media cetak, terdapat sejumlah puisi berdasarkan ‘daun’ sebagai titik tolak kepekaan, ilham, dan pemikiran.
Foto©nahee.com
Agaknya, hal ini kerana sejak dari usia sepuluh tahun, alam dusun sudah menjadi salah satu unsur yang sangat besar mempengaruhi latar kehidupan zaman kecil saya. Sebelumnya, saya dibesarkan oleh nenek di pekan Kubang Kerian (Kelantan), dan pada usia sepuluh tahun itulah saya dibawa oleh nenek ke dalam alam dusun di kampung Pulong (masih dalam daerah Kubang Kerian) untuk turut menetap bersama-sama dengan ibu bapa saya. Nenek membesarkan rumah di kampung. Semenjak itulah alam dusun yang teduh, tenang, dan indah - dengan segala macam pokok buah-buahan, hutan, belukar, bunga, haiwan dan serangga, serta sungai – sangat menjiwai nurani saya. Malah, rumah kediaman kami berada dalam seekar dusun rambutan. Jika saya kenang kembali – daun-daunan pelbagai rencam, detik daun luruh, daun-daun terhampar penuh di tanah, dan segala macam flora dusun – adalah antara unsur dusun yang sangat mengagumkan, merangsang imaginasi dan daya fikir, bahkan mengharukan nurani.
Sehingga dewasa – segala kenangan dari alam dusun itu – tetap mengisi sebahagian juzuk yang tidak dapat dipisahkan daripada pemikiran saya. Itulah sebabnya saya mempunyai nostalgia yang sangat khusus, mendalam, tentang ‘daun’. Dan itulah juga sebabnya sebahagian antara juring renungan dan pemikiran dalam pengucapan puisi saya adalah turut menjurus terhadap ‘daun’.
Sayangnya, draf puisi saya berdasarkan ‘daun’, di samping sebahagian besar puisi lain dari zaman muda dalam kreativiti awal saya, banyak yang telah hilang ditelan masa. Namun, sebahagian daripada sajak-sajak ‘daun’ ini, masih ada yang terselamat dalam rencam bahan simpanan saya, meskipun sekadar tertinggal dengan jumlah yang sangat kecil. Saya mengumpulkan sajak-sajak ‘daun’ ini sebagai koleksi khas, dengan impian untuk kelak menerbitkannya, walau hanya sebagai kumpulan kecil. Setidak-tidaknya adalah sebagai memenuhi kenangan cetusan ilham yang dirangsang oleh ingatan terhadap alam dusun zaman kecil saya.
Delapan buah daripada sebelas buah puisi yang dapat menjadi koleksi ‘Sajak-sajak Daun’ ini – Kata Si Daun Kuning, Hidup Ini Penuh Jenaka, Syyy…, Di Atas Rumput, Ketika Daun Terlepas, Kau Harus Tahu, Soalan, dan Percakapan Daun Kepada Embun – adalah puisi yang tercipta pada sekitar usia 19 – 20 tahun saya. Manakala tiga buah puisi lagi – Kepada Sehelai Daun, Di Celah Sepi, dan Sewaktu Menatap Daun Luruh – turut disertakan dalam koleksi ini adalah puisi yang tercipta dalam kreativiti mutakhir saya.
[2]
Pada awalnya, saya tidak memiliki hasrat untuk mengetengahkan ‘Sajak-sajak Daun’ ini ke dalam laman blog. Reka bentuk manuskrip asal saya dibantu oleh sahabat baik, Ahmat Rashidi Arshat untuk cadangan diterbitkan bercetak. Namun, terpendam juga begitu sahaja oleh saya.
Kemudian, penyair Abdulhadi Muhammad mengambil inisiatif membangunkan laman blog untuk saya, berdasarkan ‘Sajak-sajak Daun’ ini. Sebuah laman blog lagi – ‘Kilau Setitik Sinar’ – juga asalnya dibangunkan oleh Abdulhadi Muhammad. Namun, saya tidak mempunyai masa yang sangat lebar untuk melayan trend dan kerenah laman blog. Sementelahan, sehingga kini saya sebenarnya tidak memiliki kemahiran bidang ini. Oleh hal yang demikian, saya abaikan saja laman blog awal ‘Sajak-sajak Daun’ ini sebagai laman blog yang tidak selesai.
Namun, dua anak muda yang sangat akrab dengan saya – Dhiya’Fida’Iy dan Matz Budiman – mempunyai minat yang besar, memohon izin, dan mengambil inisiatif untuk melengkapkan semula laman blog ‘Sajak-sajak Daun’ ini, dan saya tanpa alasan dan pilihan, membenarkan sahaja. Malah, mungkin lucu juga bagi saya, kerana Dhiya dan Matz juga tidak memberikan saya pilihan untuk tidak membenarkan foto zaman muda saya (1983) ditampilkan dalam laman blog ini. Alasan mereka berdua, foto ini lebih sesuai sebagai latar kerana delapan dari sebelas buah puisi yang memenuhi laman blog ini adalah tercipta pada zaman muda saya. Barangkali idea mereka benar, dan saya menurut sahaja sebagai menghormati kreativiti mereka.
Terima kasih sedalam-dalamnya – Sdra. Ahmat Rashidi Arshat, penyair Abdulhadi Muhammad, Dhiya’Fida’Iy, dan Matz Budiman.
Dan terima kasih sedalam-dalam kepada para Pembaca Budiman yang sudi membaca, menikmati, dan menghayati puisi saya.
Wassalam dan salam sejahtera.
- Rosli K. Matari.
23 Dis 2011.
Foto©lyricsd*g.eu