Laman Pertama

Friday, December 23, 2011

SAJAK-SAJAK

DAUN


                             Foto©wallpapersock.net


Rosli K. Matari

Catatan Pengantar

Wednesday, December 21, 2011





CATATAN PENGANTAR

[1]
Dalam kreativiti saya, daripada sebahagian koleksi draf dan antara yang pernah tersiar dalam media cetak, terdapat sejumlah puisi berdasarkan ‘daun’ sebagai titik tolak kepekaan, ilham, dan pemikiran.


                                                                                                                                          
                                                                                                                      Foto©nahee.com             


                Agaknya, hal ini kerana sejak dari usia sepuluh tahun, alam dusun sudah menjadi salah satu unsur yang sangat besar mempengaruhi latar kehidupan zaman kecil   saya. Sebelumnya, saya dibesarkan oleh nenek di pekan Kubang Kerian (Kelantan), dan pada usia sepuluh tahun itulah saya dibawa oleh nenek ke dalam alam dusun di kampung Pulong (masih dalam daerah Kubang Kerian) untuk turut menetap bersama-sama dengan ibu bapa saya. Nenek membesarkan rumah di kampung. Semenjak itulah alam dusun yang teduh, tenang, dan indah - dengan segala macam pokok buah-buahan, hutan, belukar, bunga, haiwan dan serangga, serta sungai – sangat menjiwai nurani saya. Malah, rumah kediaman kami berada dalam seekar dusun rambutan. Jika saya kenang kembali – daun-daunan pelbagai rencam, detik daun luruh, daun-daun terhampar penuh di tanah, dan segala macam flora dusun – adalah antara unsur dusun yang sangat mengagumkan, merangsang imaginasi dan daya fikir, bahkan mengharukan nurani.

Sehingga dewasa – segala kenangan dari alam dusun itu – tetap mengisi sebahagian juzuk yang tidak dapat dipisahkan daripada pemikiran saya. Itulah sebabnya saya mempunyai nostalgia yang sangat khusus, mendalam, tentang ‘daun’. Dan itulah juga sebabnya sebahagian antara juring renungan dan pemikiran dalam pengucapan puisi saya adalah turut menjurus terhadap ‘daun’.

      Sayangnya, draf puisi saya berdasarkan ‘daun’, di samping sebahagian besar puisi lain dari zaman muda dalam kreativiti awal saya, banyak yang telah hilang ditelan masa. Namun, sebahagian daripada sajak-sajak ‘daun’ ini, masih ada yang terselamat dalam rencam bahan simpanan saya, meskipun sekadar tertinggal dengan jumlah yang sangat kecil. Saya mengumpulkan sajak-sajak ‘daun’ ini sebagai koleksi khas, dengan impian untuk kelak menerbitkannya, walau hanya sebagai kumpulan kecil. Setidak-tidaknya adalah sebagai memenuhi kenangan cetusan ilham yang dirangsang oleh ingatan terhadap alam dusun zaman kecil saya.

Delapan buah daripada sebelas buah puisi yang dapat menjadi koleksi ‘Sajak-sajak Daun’ ini – Kata Si Daun Kuning, Hidup Ini Penuh Jenaka, Syyy…, Di Atas Rumput, Ketika Daun Terlepas, Kau Harus Tahu, Soalan, dan Percakapan Daun  Kepada Embun – adalah puisi yang tercipta pada sekitar usia 19 – 20 tahun saya. Manakala tiga buah puisi lagi – Kepada Sehelai Daun, Di Celah Sepi, dan Sewaktu Menatap Daun Luruh – turut disertakan dalam koleksi ini adalah puisi yang tercipta dalam kreativiti mutakhir saya.


[2]
Pada awalnya, saya tidak memiliki hasrat untuk mengetengahkan ‘Sajak-sajak Daun’ ini ke dalam laman blog. Reka bentuk manuskrip asal saya dibantu oleh sahabat baik, Ahmat Rashidi Arshat untuk cadangan diterbitkan bercetak. Namun, terpendam juga begitu sahaja oleh saya.

Kemudian, penyair Abdulhadi Muhammad mengambil inisiatif membangunkan laman blog untuk saya, berdasarkan ‘Sajak-sajak Daun’ ini. Sebuah laman blog lagi – ‘Kilau Setitik Sinar’ – juga asalnya dibangunkan oleh Abdulhadi Muhammad. Namun, saya tidak mempunyai masa yang sangat lebar untuk melayan trend dan kerenah laman blog. Sementelahan, sehingga kini saya sebenarnya tidak memiliki kemahiran bidang ini. Oleh hal yang demikian, saya abaikan saja laman blog awal ‘Sajak-sajak Daun’ ini sebagai laman blog yang tidak selesai.

Namun, dua anak muda yang sangat akrab dengan saya – Dhiya’Fida’Iy dan Matz Budiman – mempunyai minat yang besar, memohon izin, dan mengambil inisiatif untuk melengkapkan semula laman blog ‘Sajak-sajak Daun’ ini, dan saya tanpa alasan dan pilihan, membenarkan sahaja. Malah, mungkin lucu juga bagi saya, kerana Dhiya dan Matz juga tidak memberikan saya pilihan untuk tidak membenarkan foto zaman muda saya (1983) ditampilkan dalam laman blog ini. Alasan mereka berdua, foto ini lebih sesuai sebagai latar kerana delapan dari sebelas buah puisi yang memenuhi laman blog ini adalah tercipta pada zaman muda saya. Barangkali idea mereka benar, dan saya menurut sahaja sebagai menghormati kreativiti mereka.

Terima kasih sedalam-dalamnya – Sdra. Ahmat Rashidi Arshat, penyair Abdulhadi Muhammad, Dhiya’Fida’Iy, dan Matz Budiman.

Dan terima kasih sedalam-dalam kepada para Pembaca Budiman yang sudi membaca, menikmati, dan menghayati puisi saya.

Wassalam dan salam sejahtera.

-          Rosli K. Matari.
23 Dis 2011.







Foto©lyricsd*g.eu

Foto Rosli K Matari


                                                                Rosli K Matari

Dedikasi

DEDIKASI

Buat ayahandaku tercinta,
Haji Nik Mat
dan
Mengenang bondaku tercinta,
Allahyarhamah Hajjah Zabidah

 Foto©en.wikipedia.org

Foto Dedikasi


                                                             Ayahanda - Haji Nik Mat

Draf

                                        Draf puisi Rosli K. Matari - “Kepada Sehelai Daun”

[1] KATA SI DAUN KUNING

Tuesday, December 20, 2011

                                       Foto©thumbnail_002             

Rosli K. Matari

KATA SI DAUN KUNING

Sekarang
aku sedang gugur.

Impianku hendak menjadi
sarang kerengga,
tertinggal
dalam angan-angan sahaja.

Apakah tidak mungkin,
angan-angan itu
masih tersangkut
di atas sana – 

Di celah ranting itu? 

27 Jan 1979

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[2] HIDUP INI PENUH JENAKA


Foto©vi.sualize.us


Rosli K. Matari

HIDUP INI PENUH JENAKA

Ada sehelai daun yang selalu menganggap
hidup ini penuh jenaka.

Setiap hari ia tertawa melihat
Si Tukang Kebun berpeluh dan lenguh
menyapu dan mengumpulkan
daun-daun yang luruh, berserakan.

Ia menganggap kerja itu sungguh melucukan
kerana esok hari Si Tukang Kebun itu
pasti akan menyapu dan mengumpulkan lagi…

Bahkan pagi sampai petang, bayang pokok
yang selalu berubah-ubah kedudukan itu
juga sangat melucukannya.

“Tidak pernah diam, sekejap di sini,
sekejap di sana,” katanya sambil ketawa
berdekah-dekah. Dan esok, bayang itu
pasti akan berubah lagi…

Pada suatu pagi, dari jauh, ia melihat
Si Tukang Kebun datang membawa
mesin gergaji.                                                 

Ia ketawa berdekah-dekah,
“Lucu, lucu. Si Tukang Kebun itu
sudah hilang penyapunya.”

13 Jul 1979

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[3] SYYY…

                        Foto©wallpaperstock.net


Rosli K. Matari

SYYY…

Jangan banyak bertutur. Diam sajalah.
Agar suara kau tidak didengar
oleh angin.

Angin itu jahat, tau. Ia datang
dalam senyap. Kalau suara kau
terdengar olehnya, ia akan datang
untuk membawa kaupergi.

Percayalah,
engkau tidak akan dapat
pulang ke ranting ini lagi.

“Benar kata-katamu!”
terdengar olehmu suara itu
- memang kaukenal,
yang rupa-rupanya sudah 
berada di sebalik dahan.

Kau tergamam,
terdiam
- menggigil
menunggu untuk merasa
entah siapa
akan dibawa pergi.

Mungkin – kau.

16 Julai 1979

(BELUM PERNAH TERSIAR)   
          

[4] KETIKA DAUN TERLEPAS



                                                           Foto©weatherst.press com


Rosli K. Matari

KETIKA DAUN TERLEPAS

Ketika daun terlepas dari ranting,
kita tidak pernah mendengar suaranya.

Entah apa yang diucapkannya,
pada terakhir kali itu.

Barangkali ia terperanjat (hah!),
menjerit (tolong!), sedih (oh!).

Barangkali tergamam (!),
atau hairan (?).

Tetapi, siapa tahu,
mungkin sangat gembira.

Justeru, pertama kali
dapat berasa meluncur di udara.

Nikmat yang tak ada
di ranting.

Sehingga tak terucap
dengan kata-kata.

Kecuali, suaranya yang begini
- yahooo…

3 Jan 80


(BELUM PERNAH TERSIAR)

[5] SEWAKTU MENATAP DAUN LURUH

                                                      Foto©cartridgesforkids.wordpress.com


Rosli K. Matari

SEWAKTU MENATAP DAUN LURUH 

Sia-sia, kalau kita meneka, daun manakah
Akan luruh

Itu rahsia angin, dipetik atau dijentik
Di sebalik detik

Sejenak, kita terpegun, menatap daun luruh
Tertanggal daripada hayat

Sepanjang waktu, alam sangat cermat
Mengutip kematian

Takdir, bagai buku tebal, penuh catatan
Tak tertinggal, walau satu huruf dan noktah

Tak ada satu ajal pun, terlalu awal
Atau tersangat lewat – satu detik

Kalau kita menjadi daun, atau
Daun menjadi kita – sama kembali ke tanah

Tentang ini, kita tahu
Tidak pernah ada jawapan berbeza


21 Jun 11


[BELUM PERNAH TERSIAR]

[6] DI ATAS RUMPUT

                                         Foto©martybugs.net

Rosli K. Matari

DI ATAS RUMPUT

Daun-daun tua itu masih sempat berbaringan
seenaknya di atas rumput,

bahkan, menikmati sepenuhnya cahaya matahari
yang menggemerlapkan embun,

seolah-olah soal maut itu boleh dilupakan,
sejenak.

17 Ogos 1979

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[7] KAU HARUS TAHU

                                      Foto©bellaonline.org

Rosli K. Matari

KAU HARUS TAHU

Tidak ada angin, tidak ada bunyi
-      ketika daun kuning itu luruh.

Bahkan, tanah itu masih terdiam
-      begitu saja.

Ah, alangkah ngerinya
-      ajal itu telah mengintip sejak dahulu kala.


28 Feb 80

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[8] SOALAN

                                        Foto©cloudplasma. co uk 


Rosli K. Matari

SOALAN

Aku?
Ya, ya, si tukang kebun di sini.

Daun-daun itu?
Oh, kau terlambat.

Semuanya telah kubakar,
Baru sejurus tadi.

Ke manakah sebenarnya
Daun-daun itu telah pergi?

Oh, jangan kautanyakan,
Aku tidak tahu.

Bahkan, soalan itu
Aku pun takut.

9 Okt 1980

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[9] PERCAKAPAN DAUN KEPADA EMBUN


                                                Foto©background-wallpapers.com

Rosli K. Matari

PERCAKAPAN DAUN KEPADA EMBUN

Ah, kau terkejut melihatku? Semalam, gelap.
Pagi ini, pertama kali kita bertemu.

Itu pun mujur matahari sudah lewat
menebuk kabus.

Cahayanya sudah bolos untuk
mengilaukan kau.

Tanpa siang, cahaya, dan kilau
kau mungkin tidak tahu, 
aku juga wujud.

Walau sementara,
sekurang-kurangnya kita tahu
bahawa kita pernah ada.

18 Okt 1980

(BELUM PERNAH TERSIAR)

[10] KEPADA SEHELAI DAUN


                                  Foto©livingstonnj.org

Rosli K. Matari

KEPADA SEHELAI DAUN

Kutemui kau terlantar di atas tanah
Entah kerana digetus oleh tangan angin
Atau mungkin gugur kerana hayat terakhir usia.

Memang tidak dapat kudengar
Suara sedihmu, rasa sepimu
Bahkan mungkin, gementar jiwa dan jasadmu.

Namun kau harus tahu, reda, dan insaf
Apa sahaja, termasuk aku, yang pernah ada
Akan berakhir menjadi tiada semula.

Demikianlah kebijaksanaan Tuhan
Kerana kita dahulu pernah tiada
Kemudian abadi, untuk mengenal yang lebih Abadi.

Semoga kautenang dan dikasihi Tuhan
Kerana di atas tanah itulah, becak atau kering
Telah tersimpan takdir terakhir kita.

Selamat tinggal, wahai daun
Meskipun kau mungkin tidak mengetahui
Aku juga gementar sepertimu.

Rumah Gapena    
9 Jun 06    


[Dewan Budaya]    

[11] DI CELAH SEPI

Foto©yosemite.ca.us

Rosli K. Matari

DI CELAH SEPI

Tak ada bisik angin.
Daun tak dipujuk gugur.

Redup,
Walau kebetulan –
Menangguhkan bayang.

Tak ada gerak,
Tak melintas bunyi.

Yang ada –
Sepi.

Agaknya
Sejenak, tengah hari  
Alam juga ingin berehat,
Seperti kita.

Tetapi
Sejak dahulu,                           
Sekian lama – 
Aku tidak pernah
Percaya pada sepi.

Di celah-celah sepi,
Maut mungkin
Mendadak menjengah
Bergegas mengajak
Kita pergi.

Sambil jari telunjuknya
Masih sempat
Menjentik-jentik daun.

7 Dis 10


[Mingguan Malaysia - 2011]