[2] HIDUP INI PENUH JENAKA

Tuesday, December 20, 2011


Foto©vi.sualize.us


Rosli K. Matari

HIDUP INI PENUH JENAKA

Ada sehelai daun yang selalu menganggap
hidup ini penuh jenaka.

Setiap hari ia tertawa melihat
Si Tukang Kebun berpeluh dan lenguh
menyapu dan mengumpulkan
daun-daun yang luruh, berserakan.

Ia menganggap kerja itu sungguh melucukan
kerana esok hari Si Tukang Kebun itu
pasti akan menyapu dan mengumpulkan lagi…

Bahkan pagi sampai petang, bayang pokok
yang selalu berubah-ubah kedudukan itu
juga sangat melucukannya.

“Tidak pernah diam, sekejap di sini,
sekejap di sana,” katanya sambil ketawa
berdekah-dekah. Dan esok, bayang itu
pasti akan berubah lagi…

Pada suatu pagi, dari jauh, ia melihat
Si Tukang Kebun datang membawa
mesin gergaji.                                                 

Ia ketawa berdekah-dekah,
“Lucu, lucu. Si Tukang Kebun itu
sudah hilang penyapunya.”

13 Jul 1979

(BELUM PERNAH TERSIAR)